Tuesday, November 2, 2010

Lengkapkan Diri Dengan Ilmu Kesihatan

Bila sakit, kita sama ada berjumpa dengan doktor atau pengamal perubatan tradisional untuk rawatan. Biasanya kalau kedua-dua usaha tersebut tidak mendatangkan hasil yang diharapkan, kita akan mencara rawatan alternatif. Pemakanan tambahan atau herba selalunya menjadi pilihan.

Para doktor atau pengamal perubatan tradisional akan memberi ubat dan kita jarang sekali atau tidak pernah bertanya kesan sampingan ubat yang diberikan. Kesilapan preskripsi ubat, kesilapan diagnosis, kesilapan pembedahan, tindakbalas ubat dan dos yang berlebihan merupakan punca kematian nombor tiga tertinggi di Amerika Syarikat. Kesan sampingan ubat yang diketahui merupakan punca kematian keempat tertinggi.

Kita mempunyai hak untuk mengetahui tentang kesan sampingan ubat yang diberikan. Anda mungkin pernah mendengar cerita mengenai ubat yang diberi nama Vioxx, ubat untuk penyakit osteoartritis, keadaan sakit akut dan dismenorea. Ubat ini diluluskan sebagai selamat dan berkesan oleh FDA pada May 1999. Ubat ini diterima secara meluas oleh para doktor dan telah diberikan kepada seramai lebih 80 juta orang. Pada September 2004 pengeluarnya, sebuah syarikat farmaseutikal gergasi, telah menarik balik pengedaran ubat tersebut kerana ia meningkatkan risiko serangan jantung dan strok. Penggantinya, Prexige, telah ditarik balik pengedarannya pada Ogos 2007 kerana menyebabkan kerosakan hati yang teruk dan dua kematian. Sehingga Mac 2006 lebih dari 10,000 saman telah dikenakan pada syarikat tersebut. Ini bukan satu-satunya kes ubat yang ditarik balik kerana kesan sampingan yang teruk.

Bila membeli makanan tambahan dari pengusaha jualan langsung atau farmasi, kita jarang atau tidak pernah bertanya bagaimana cara makanan tambahan tersebut dapat membantu mengatasi masalah kesihatan yang kita hadapi. Kita seronok mendengar testimoni yang diberikan dan yakin akan memperolehi hasil yang sama. Tidak dinafikan ada makanan tambahan yang dapat membantu mengatasi masalah berbagai-bagai penyakit tetapi ramai pengusaha, mungkin kerana semangat menjual yang tinggi, yang membawa khabar lebih indah dari rupa.

Apa yang penting lengkapkan diri anda dengan ilmu pengetahuan tentang kesihatan diri dan info mengenai masalah kesihatan yang dihadapi. Dapatkan maklumat mengenai punca sebenar sakit jantung, kanser, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Sebagai contoh, paras gula yang tinggi dalam darah bukan punca sebenar penyakit kening manis.Justeru usaha untuk menurunkan paras gula bukan penyelesaian sepenuhnya. Punca sebenar masalah ialah pankreas tidak lagi berupaya mengeluarkan insulin yang diperlukan badan. Apa yang boleh dilakukan untuk memulihkan fungi pankreas? Cuba renungkan.

No comments:

Post a Comment