Friday, January 21, 2011

Apakah itu Rheumatoid Arthritis


 

Quantcast
rheumatoid arthritis affecting hands HARI ini saya ingin berkongsi satu lagi maklumat baru buat semua pembaca. Sudah lama tidak menulis tentang kesihatan. Ya, pernah dengar rheumatoid arthritis? Ha, mungkin ada yang telah biasa mendengarnya. Buat yang pertama kali menerima ungkapan ini, mari kita ambil tahu. Apa itu rheumatoid arthritis?
Penyakit ini merupakan suatu penyakit kronik pada sendi-sendi dan juga melibatkan beberapa organ-organ lain. Bahayakah penyakit ini? Baiklah, sebanyak 1-3% daripada penduduk seluruh dunia mengalami penyakit ini.
Kebarangkaliannya akan meningkat pada usia 30 sehingga 50 tahun. Wanita yang belum mengalami putus haid adalah lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding kaum lelaki.
Apa punca penyakit ini? Punca utama penyakit ini masih belum dikenal pasti secara tepat. Namun, kebanyakan teori mengaitkannya dengan tindak balas autoimun. Genetik juga memainkan faktor penyumbang terhadap penyakit ini.
Bagaimana mahu mencirikan penyakit ini ya? Terdapat beberapa kriteria dan simptom yang boleh dikenal pasti untuk mengesahkan penyakit rheumatoid arthritis. Tanda-tanda awal ialah di mana berlakunya pembengkakan pada membran sinovial (synovial membrane) dan tisu penyambung.
Pesakit biasanya akan mengalami sakit pada tiga atau empat sendi terutamanya pada sendi-sendi tangan, kaki dan pergelangan tangan terutama pada waktu pagi, selepas bangun dari tidur. Ciri ini akan berlaku kebiasaannya pada kedua-dua belah anggota badan (symmetrical affection). Penyakit  akan berlanjutan sekurang-kurangnya kira-kira enam minggu.
Diagnosis juga boleh dilakukan dengan melakukan beberapa siri ujian. Ujian rheumatoid factor kebanyakannya didapati positif disamping meningkatnya juga nilai C-reactive protein (CRP) dan erythrocyte sedimentation rate (ESR), Sinaran x (x-ray) yang dijalankan juga mendapati berlakunya hakisan (erosions) pada sendi dan bahagian tulang yang terlibat.
x-ray ke atas pesakit normal dan pesakit rheumatoid arthritis
Macam mana pula dengan kesannya penyakit ini terhadap organ-organ lain? Ya, rheumatoid arthritis juga biasanya mengakibatkan kekeringan mata (keratoconjunctivitis sicca) disamping munculnya nodul-nodul pada bahagian anggota yang biasa dikenakan tekanan (extensor surface). Pada sesetengah kes, organ-organ lain seperti paru-paru dan jantung juga akan terlibat sama.
Baiklah, bagaimana pula dengan langkah merawatnya. Langkah paling mudah ialah banyakkan berehat. Lakukan latihan fisioterapi. Ubat-ubatan juga boleh diambil mengikut arahan doktor. Kebiasaannya ubat yang diberi ialah analgesics dan non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) bagi melegakan simptom-simptom penyakit. Kaedah pembedahan akan dilakukan selepas langkah lain seperti ubat-ubatan yang diambil tidak berkesan.
Mengikut Peter C. Lanyon, Consultant Rheumatologist, University Hospital, Queen Medical Centre Nottingham, UK, sebanyak 40% pesakit akan dikategorikan sebagai mengalami kelumpuhan atau cacat anggota dalam masa 3 tahun. 80% pula akan mengalami kelumpuhan tahap sederhana dan teruk dalam masa 20 tahun.
Selamat membaca. Semoga semua beroleh manfaat bersama.

Tips Mengurangkan Stress

Tahukah anda stres atau tekanan boleh menyebabkan kenaikan berat badan? Apabila anda mengalami tekanan, badan anda akan menghasilkan hormon kortisol yang lazimnya akan meningkatkan keinginan anda menjamah makanan tinggi gula dan lemak. Jangan risau! Anda boleh mengelakkan penghasilan hormon kortisol dengan mengatasi stress yang dialami dengan 6 tips berkesan.

1. Teknik pernafasan- Senaman yang melibatkan pernafasan seperti tai chi dan yoga boleh membangkitkan rasa tenang dan mengurangkan hormon stres. Bagi anda yang tiada masa untuk mengamalkan senaman, cuba luangkan 5 minit saja sehari untuk tarik nafas dalam-dalam perlahan-lahan dan lepaskan semula nafas perlahan-lahan. Insya Allah, anda akan berasa tenang.

2. Senaman – Bagi sesetengah orang (termasuk saya), perkataan senaman merupakan sesuatu yang formal dan memenatkan sehingga menyebabkan kita menghindarinya. Sebaliknya, cuba fikirkan senaman sebagai aktiviti fizikal atau pergerakan yang menyeronokkan seperti bermain bersukan dan berkebun. Libatkan anak-anak dan suami supaya aktiviti fizikal anda lebih bermakna di samping menggalakkan ahli keluarga bersenam. Luangkan 15-30 minit sehari sahaja sudah mencukupi untuk membakar kalori anda, bahkan juga membantu anda melawan segala hormon stres yang tidak diingini.

3. Makan ikut masa – Bagi masyarakat kita, makan 3 kali sehari sudah mencukupi. Sebaliknya, pertimbangkan 5-6 kali hidangan kecil yang lengkap dengan protein dan karbohidrat supaya gula dalam darah stabil dan pengeluaran hormon stres dapat dielakkan. Anda akan mendapati tahap tenaga paling tinggi apabila anda mangambil makanan setiap 2-3 jam. Tapi INGAT! Ambil makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan kurang lemak dan gula dalam kuantiti yang berpatutan. Bak kata sunnah nabi, berhenti sebelum kenyang. Nescaya stres berkurangan, badan sihat dan pahala pun dapat kerana mengikuti sunnah nabi.

4. Tidur yang mencukupi – Kajian perubatan telah menunjukkan bahawa tahap hormon kortisol meningkat apabila individu kurang tidur. Hormon kortisol yang tinggi menyebabkan keinginan terhadap makanan tinggi gula dan lemak juga meningkat di siang hari. Keadaan ini akan menyebabkan individu berkenaan mengalami stres dan juga risiko yang tinggi untuk peningkatan berat badan. Jadi, pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi. Jangka waktu tidur yang mencukupi berbeza bagi setiap individu. Anda tahu anda cukup tidur apabila anda bertenaga dan bersemangat sepanjang hari. HATI-HATI! Jangan terlebih tidur! Terlebih tidur akan membuatkan anda berasa lesu dan lemah.

5. Elakkan kafein, rokok dan alkohol – Pastikan anda tidak merokok serta mengambil kafein dan alcohol. Berdasarkan American Institute of Stress (AIS), ketiga-tiga faktor ini akan meningkatkan tahap kortisol, sekaligus menyebabkan stres dan kelaparan serta menurunkan paras gula dalam darah.

6. Ambil vitamin dan mineral – Banyak kajian yang telah membuktikan stres boleh menyebabkan penurunan vitamin dan mineral yang penting dalam badan. Sebanyak 9 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari disyorkan untuk memenuhi keperluan vitamin dan mineral dalam tubuh anda. Bagi saya, pengambilan suplemen atau multivitamin lebih mudah kerana untuk memenuhi 9 kali hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran akan menyebabkan saya mengalami tekanan juga! Dapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan supaya anda mengambil suplemen yang bersesuaian dengan keperluan badan anda.

Dengan mencuba tips di atas, anda akan berasa lebih tenang dan sihat!