Tuesday, January 25, 2011

APA ITU PROSTAT

Risalah ini mengandungi jawapan kepada beberapa soalan umum mengenai masalah prostat. Banyak orang mendapati bahawa pengetahuan tentang penyakit yang dialami dapat membantu mereka. Walau bagaimanapun, maklumat ini bukanlah alternatif untuk tidak mendapat khidmat daripada doktor atau jururawat. Sila gunakan maklumat ini sebagai panduan untuk anda bertanya lebih lanjut tentang masalah ini.

Prostat ialah kelenjar seks bagi lelaki. Bagi lelaki dewasa, kelenjar ini biasanya hampir sama besarnya dengan biji walnut. Kedudukannya di bawah pundi kencing, di pangkal zakar dan di hadapan rektum.
Prostat mengeluarkan sebahagian cecair dalam air mani lelaki.
Prostat mempunyai lubang sempit ditengahnya. Tiub (uretra) yang mengeluarkan air kencing dari pundi kencing melalui lubang ini hingga ke hujung zakar.

Bagaimanakah saya tahu jika saya ada masalah prostat?

Masalah prostat adalah biasa bagi lelaki apabila umur mereka meningkat (50 tahun ke atas).
Anda mungkin mengalami masalah semasa kencing. Anda mungkin mengalami beberapa atau semua perubahan yang berikut:
- Sukar untuk mengeluarkan air kencing terutamanya dalam keadaan terkejar-kejar.
- Sukar untuk menghentikan aliran air kencing.
- Mengambil masa kerana aliran air kencing lemah atau sering terhenti.
- Air kencing masih menitis walaupun sudah selesai membuangnya.
- Sering berasa hendak kencing diwaktu siang .
- Sering bangun malam untuk kencing.
- Sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa apabila hendak kencing.
- Berasa tidak puas kencing.
- Sakit atau pedih semasa kencing.
- Kadang-kadang ada darah didalam air kencing. Keadaan ini memerlukan pemeriksaan doktor.

Jika anda mengalami masalah ini, berjumpalah dengan doktor. Jangan hanya menganggap masalah ini sebagai masalah yang berlaku kerana umur anda meningkat. Rawatan yang sesuai dapat menyelamatkan anda.


Apakah yang menyebabkan masalah ini?

Lapan (8) daripada sepuluh (10) kes yang berlaku adalah kerana prostat menjadi bengkak. Prostat yang bengkak ini menekan uretra. Masalah ini dikenali sebagai benign prostatic hyperplasia (BPH) dan ia disebabkan oleh perubahan hormon di dalam prostat. Masalah ini dialami oleh hampir separuh daripada lelaki yang berumur 50 tahun ke atas dan ia tidak menyebabkan kanser.
Ada kalanya prostat menjadi bengkak disebabkan oleh jangkitan yang dikenali sebagai prostatitis yang mempunyai simptom yang sama dengan BPH. Masalah ini selalunya dialami oleh lelaki yang lebih muda.
Kurang daripada seorang dalam sepuluh lelaki yang mempunyai masalah prostat akan mendapat kanser prostat.
Perlu diingat- kebanyakan masalah prostat bukanlah kanser, dan kebanyakannya boleh dirawat.

Apakah kaedah rawatan masalah prostat dan kanser prostat?


Kaedah rawatan bergantung pada punca masalah dan tahap bahaya. Doktor akan memberi nasihat apakah tindakan terbaik yang perlu anda ambil . Jika prostat anda bengkak, ini tidak semestinya anda menghidap kanser.
Benign prostatic hyperplasia (BPH)
Masalah ini dapat diatasi dengan ubat atau pembedahan.
Ubat dapat menukar tahap hormon, merelakskan atau mengecutkan prostat supaya ia tidak menekan uretra. Anda mungkin perlu mengambil ubat untuk beberapa bulan sebelum simptom masalah tersebut berkurangan. Anda perlu terus mengambil ubat sehingga simptom dapat dikawal dan perlu mendapat pemeriksaan doktor.
Pembedahan mungkin dilakukan untuk membuang sebahagian daripada prostat supaya ia tidak lagi menekan uretra. Rawatan laser atau gelombang mikro juga mungkin digunakan.

Prostatisis
Selalunya prostatisis dirawat dengan antibiotik. Anda perlu mengambil antibiotik selama beberapa bulan. Sesetengah pesakit mungkin memerlukan pembedahan untuk
menghalang prostat yang bengkak daripada menekan uretra.